Friday, November 23, 2012

Layakkah aku untuk dia?

ini gua copy paste dari blog seseorang .nway,bacalah .Bismillahirahmanirrahim.





Layakkah diri untuk si dia?


Hari-hari terakhir di Malaysia dilalui dengan tidak tenang. Memikirkan diri akan melanjutkan pelajaran di Jordan, membuatkan Taufiq seakan-akan tidak keruan. Masalah yang sudah lama membelenggu dalam benak fikiran. Hanya satu keputusan yang perlu dibuat. Dia perlu berbicara dengan orang yang lebih matang daripadanya. Ingin meminta pendapat dan nasihat. Ustaz Zaki menjadi pilihan. Beliau pernah menjadi pembimbing di dalam usrah yang pernah diikuti Taufiq.

"Assalamualaikum. Ustaz, apa khabar? Lama tak ketemu ya, ustaz."

"Waalaikumussalam. Ya, Taufiq, alhamdulillah, ana sihat. Bagaimana dengan anta?"

"Alhamdulillah, sihat sokmo, haha. Ustaz sibuk ke sekarang? Saya ingin meminta nasihat dan pendapat ustaz sebelum saya bertolak ke Jordan esok."

"Haa, boleh saja, ustaz pun baru sahaja selesai buat tugasan ni. Ada perkara apa ni, Taufiq?"

"Hmm, ana terus terang sajalah ye, ustaz. Sebenarnya, sebagai lelaki, ana tidak lari daripada mempunyai perasaan terhadap seorang muslimah. Namun, yang membezakannya ialah, Allah sentiasa membimbing ana agar teguh akan hati dan iman. Agar tidak terlalu mengikuti hawa nafsu. Alhamdulillah, Allah sentiasa bersama ana. Istikharah menjadi penentu segalanya. Hati merasakan lebih tenang, setelah menyerahkan segalanya kepada Allah. Tahajud menjadi benteng diri. Ana menginginkan muslimah tersebut menjadi seorang yang halal bagi ana. Menjadi pendamping tatkala sujud di tengah malam, mengesakan ilahi. Namun, Allah sebaik-baik perancang. Ana akan melanjutkan pelajaran di Jordan, manakala muslimah itu akan melanjutkan pelajaran di Mesir. Kami belajar di tempat yang berbeza. Malah, muslimah tersebut juga tidak mengetahui hasrat ana. Ana berhasrat untuk menggunakan orang perantaraan, agar terjaga hati dan iman kami. Ustaz, apakah cara terbaik untuk ana lakukan, untuk menyampaikan hasrat ana?"

"Tidak dinafikan, setiap lelaki akan tertarik dengan mana-mana wanita. Itu fitrah. Pertamanya, ana ucapkan alhamdulillah kerana anta cuba sebaik mungkin untuk menjaga hati dan iman, agar tidak terjebak dalam permainan syaitan, dan terjebak ke kancah maksiat. Semoga anta sentiasa istiqamah. Namun, yang menjadi persoalan ialah, adakah perlu untuk anta meluahkan perasaan anta, dan menggunakan orang tengah, pada waktu sekarang ini? Maksud ana, anta baru sahaja akan melanjutkan pelajaran dalam usuluddin. Cuba fikirkan prioriti anta. Ana tidak mengatakan bahawa pendapat anta salah, namun perlu dipertimbangkan juga dengan prioriti. Mungkin yang terbaik buat masa sekarang ialah belajar. Tidak salah untuk memikirkan tentang perkara itu, tetapi mungkin lebih sesuai sekiranya difikirkan setelah anta tamat belajar, atau yang paling baik pun ialah pada tahun akhir belajar."

"Hmm, ana harap ustaz tak salah faham dengan ana. Ana sememangnya berhajat untuk menjadikan muslimah tersebut sebagai isteri, tetapi bukan dalam masa yang terdekat ini. Mungkin sahaja dalam 2 atau 3 tahun lagi. Buat masa sekarang, ana memikirkan untuk ada ikatan dengan muslimah tersebut. Tetapi, yang paling utama ialah untuk menyampaikan hajat ana. Sekiranya dia bersedia untuk mempunyai ikatan dengan ana, alhamdulillah. Namun, sekiranya dia tidak menerimanya, ana akan berhenti berharap kepadanya. Ana sedar bahawa Allah akan sediakan zaujah yang lebih baik untuk ana."

"Ana faham akan niat suci anta. Namun, sedarlah. Begitu banyak dugaan, apabila mempunyai ikatan, kemudian berada dalam suatu jarak yang jauh. Cuba fikirkan, sekiranya muslimah tersebut terima lamaran anta, sanggupkah anta atau si dia menunggu dalam masa 2 atau 3 tahun lagi? Begitu besar cabarannya. Hati kalian akan sering digoda syaitan. Mungkin lebih baik untuk anta sampaikan hasrat anta, apabila tiba waktu yang sesuai, mungkin bukan masa yang terdekat ini."

"Tetapi ustaz, ana risau sekiranya ana tidak menyampaikan hasrat ana dalam masa yang terdekat ini, muslimah tersebut mungkin sahaja akan dilamar oleh orang lain. Antara asbab untuk ana sampaikan juga hasrat ana ialah, supaya ana dapat membuat keputusan. Sekiranya dia menerima, maka ana tidak akan memandang dan tertarik pada mana-mana muslimah ketika di Jordan. Namun, sekiranya dia tidak menerima hajat ana, ana cuba sebaik mungkin untuk melupakannya. Tidaklah ana tertanya-tanya akan diri sendiri, atau bahasa mudahnya, bertepuk sebelah tangan, setelah mengetahui kebenaran."

"Hmm, ana risau sekiranya anta terbawa-bawa dengan emosi. Kembali semula kepada perbincangan asal kita. Yang menjadi persoalannya, ialah, masa. Perlukah anta melakukannya sekarang? Utamakan prioriti anta dahulu, iaitu belajar. Mungkin sahaja anta boleh sampaikan hajat anta semasa tahun akhir belajar. Ana hanya cuba mencadangkan. Ingatlah, walau sehebat mana seseorang muslimah itu, dan kita tertarik akan si dia, namun jika ditakdirkan Allah, bahawa si dia bukan jodoh kita, maka akan banyak halangan dan dugaan yang anta akan tempuhi, walaupun kita cuba untuk menjadikannya sebagai isteri. Sebaliknya, sekiranya si dia sudah ditakdirkan menjadi zaujah kita, maka Allah akan mempermudahkan segala urusan anta, dalam keadaan anta sendiri tidak sedar. Maka, serahkanlah segalanya kepada Allah. Bak kata orang-orang tua, jodoh tak ke mana, kan?"

"Betul juga hujah ustaz. Syukran jazilan ustaz. Akan ana pertimbangkan segala nasihat ustaz. Jika sebelum ini, ana berfikir untuk menyampaikan hajat ana dalam masa terdekat ini, tetapi, mungkin sekarang, tidak lagi. Buat masa sekarang, biarkan sahaja ana tertanya-tanya dengan perasaan ana. Biar ana luahkan segalanya kepada Ilahi. Ana akan tunggu masa yang sesuai. Ana pegang dengan janji Allah. InsyaAllah akan dipermudahkan segala urusan, sekiranya muslimah tersebut benar-benar telah ditakdirkan Allah, untuk menjadi zaujah ana. Hmm, ok ustaz, ana perlu kemas barang sikit-sikit lagi. Doakan ana selamat dalam keberangkatan ke Jordan esok, insyaAllah. Assalamualaikum, ustaz."

"Haa, ok, nanti kalau dah nak buat nasi minyak, jangan lupa jemput ustaz ye, haha, k, waalaikumussalam."



No comments:

Post a Comment